AZAM KEKAL LAGU ASLI Oleh Yusnor Ef LAGU-LAGU Melayu asli mempunyai senikata yang indah dan tersusun rapi dari segi rentak suku katanya. Lazimnya seni kata lagu Melayu Asli berupa pantun empat baris atau empat kerat. Umumnya, pembayang lagu Melayu asli mengisahkan alam sedang maksudnya berkisar pada tema cinta, nasib badan dan seumpamanya. Contohnya, karya penggubah besar asal Johor, Pak Lomak, berjudul Kuala Deli menceritakan kisah Kuala Deli di pantai timur Johor. Di sebalik keindahannya, terpapar rasa rindu. KUALA DELI Kuala Deli sayang... Kuala Deli airnya biru Tempatlah mandi sayang... Tempatlah mandi si anak dara Sedang sekampung hatiku rindu... Kualalah Deli Inikan pula... hai jauh di mata Kuala Deli sayang Kuala Deli airnya tenang... Nyiur melambai sayang Nyiur melambai ditiup angin Tempat jatuh lagiku kenang... Kualalah Deli Inikan pula tempat bermain. Sudah menjadi cara hidup orang Melayu zaman dahulu, bahasa mereka beralas untuk menyampaikan sesuatu hajat. Kalau diteliti pantun atau cerita-cerita yang termuat di dalam pantun lama, terpapar kehalusan budi orang Melayu. Mereka tidak membuat tuntutan dengan mendesak, tetapi secara berlambang dan sopan. Lagu Melayu asli mencerminkan maruah budiman Melayu. Jangan disangka irama yang lemah gemalai itu tiada kekuatan dalaman. Dengan penyampaian lunak dan mendayu, lagu Melayu asli mencerminkan antara kehebatan budaya Asia. Belum ada kajian tuntas asal-usul lagu Melayu. Mungkin ia bermula di Bintan kerana menurut cerita, permaisurinya memang pandai mengarang lagu. Alat muzik Setakat ini, alatan muzik Melayu asli lazimnya ialah gendang, akordian, violin, gitar (bass) dan rebana oleh enam atau lapan pemain. Tetapi keunikan budaya Melayu, termasuk muziknya ialah ia boleh disesuaikan dengan zaman moden. Hari ini, susunan muzik lagu Melayu asli boleh berupa simfoni. Kesan lara (melankolik) lebih terasa dengan irisan violin secara besar-besaran seperti persembahan Tan Sri S. M. Salim dengan lagu Makan Sirih dalam dua corak, asli dan ghazal, yang dijayakan Orkestra Filharmonik Malaysia. Kesimpulan Setiap bangsa yang hebat, ada muzik dan lagu warisannya. Maka jati diri Melayu terpapar pada lagu Melayu asli. Namun sikap generasi muda dan pihak media elektronik tampak tidak menyokong citra ini. Saya ingin menyarankan agar diadakan: Rancangan khas 15 atau 30 minit ruangan lagu Melayu tradisional termasuk Melayu asli di radio dan televisyen setempat. Peraduan nyanyian lagu-lagu Melayu asli peringkat nasional, ceramah atau perbincangan demi menggalak kumpulan muzik Melayu asli. Badan Melayu harus menampilkan persembahan tradisional dalam acara mereka. Badan swasta Melayu atau usahawan Melayu perlu mencintai warisan Melayu, termasuk muzik tradisional. Ini boleh dipapar dalam acara atau kesanggupan mereka menjadi penaja acara. Diharap juga Taman Warisan Melayu dan Majlis Pusat sama-sama mendukung visi mengekalkan warisan Melayu, termasuk muziknya. Tanpa ada pihak berwenang, warisan Melayu sukar dikenang.